NASA Kesan Asteroid Hampir Dengan Bumi
WASHINGTON 30 Sept. – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semalam mendedahkan penemuan asteroid terbesar yang terbang hampir dengan Bumi sekali gus menimbulkan ancaman kepada hidupan di Bumi.
Ancaman tersebut bagaimanapun dijangka dapat dikawal oleh agensi angkasa lepas.
“Risiko Bumi dihentam asteroid yang besar sebelum sempat dikesan oleh para saintis telah dikurangkan dan mungkin boleh dikawal,” kata Tim Spahr, Pengarah Pusat Planet Minor di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian di Cambridge, Massachusetts.
Menerusi teleskop ‘Wide-field Infrared Survey Explorer’ (WISE), NASA menemui 93 peratus asteroid bersaiz kira-kira satu kilometer malah ada yang lebih besar dari itu.
Para saintis sebelum ini menganggarkan jumlah asteroid di ruang angkasa lepas sebanyak 1,000 namun setelah dikaji dan diteliti, jumlahnya berkurangan menjadi 981 dan sebanyak 911 telah dikesan.
Data maklumat yang diperoleh daripada WISE menunjukkan kira-kira 19,500 asteroid bersaiz 100 meter ditemui dan bukannya 35,000 seperti data terdahulu.
Daripada jumlah tersebut, hanya 5,200 dikesan berada hampir dengan Bumi dan dianggarkan sebanyak 15,000 masih belum ditemui.
Asteroid yang dikesan berada hampir dengan Bumi didefinisikan sebagai ‘batu angkasa’ yang mengorbit sejauh 195 juta kilometer dari matahari ke sekitar orbit Bumi.
Sementara itu, seorang penyelidik angkasa lepas, Amy Maizer berkata, teleskop WISE memberikan maklumat yang lebih terperinci kepada kumpulan angkasawan.
“Penggunaan teleskop WISE umpama melakukan bancian penduduk bagi membuat satu kesimpulan mengenai keseluruhan kawasan tertentu,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment