Saturday, August 11, 2012

Lari demi maruah


KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan maruahnya, seorang wanita berusia awal 20-an terpaksa berlari kira-kira lebih 50 meter dalam keadaan separuh bogel dari rumah sewanya sambil mengendong anak lelakinya berusia setahun bagi menyelamatkan diri daripada dinodai pemilik rumah berkenaan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi di Metro Prima Kepong, mangsa yang berjaya meloloskan diri selepas bergelut dengan pemilik rumah berkenaan berlari mendapatkan bantuan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kira-kira 50 meter dari rumah sewa mereka.

Dengan bantuan tiga rakannya, suami mangsa berusia lingkungan 20-an berjaya memberkas pemilik rumah sewanya sebelum menghubungi polis. Pada masa sama dia turut membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Kepong.
Sumber polis berkata, ketika kejadian, mangsa sedang tidur di rumah bersama anak lelakinya berusia setahun.

“Mangsa terjaga daripada tidur apabila mendengar pintu biliknya diketuk dengan kuat. Sebaik membuka pintu, dia melihat pemilik rumahnya berdiri di hadapan pintu.

“Belum sempat mempersoalkan tindakan lelaki itu menceroboh rumah sewanya, lelaki terbabit terus menolak mangsa hingga terjatuh sebelum mengunci pintu rumah,” katanya.
Sumber berkata, lelaki itu kemudian menanggalkan pakaian mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka lebih 20 minit.

“Lelaki itu berulang-kali memujuk mangsa supaya melayaninya, namun wanita terbabit enggan berbuat demikian dan terus melawan sambil merayu dikasihani,” katanya.
Katanya, lelaki berkenaan menjadi lebih rakus dan cuba menanggalkan seluar dipakai mangsa, namun wanita itu terus melawan.

“Tanpa mempedulikan keadaannya yang tidak berbaju dan dalam keadaan separuh bogel itu, mangsa berlari mendapatkan suaminya yang bekerja kira-kira 50 meter dari rumah sewanya itu,” katanya.

Sumber berkata, suami mangsa yang dibantu tiga rakannya kemudian menahan lelaki terbabit di sekitar kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

No comments:

Post a Comment