Kematian Sosilawati: Peguam, adik dan enam pekerja ditahan
BANTING 12 Sept. – Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.
Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama
kredit utusan malaysia
No comments:
Post a Comment