Sunday, September 12, 2010

Sidang media di rumah Sosilawati



ERYI Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, anak sulung kepada Datuk Sosilawati mengadakan sidang media di hadapan rumahnya di Gombak. Manakala gambar bawah, wartawan dan orang ramai menunggu di jalan masuk ke kawasan ladang yang dipercayai lokasi kes pembunuhan di Ladang Gandong, Tanjung Sepat, Morib dekat Banting. - Foto Azahan Rosli/BERNAMA
Sep 12, 2010 4:10 pm

Kehilangan Sosilawati: Keluarga tunggu keputusan DNA

12/09/2010 4:07pm


KUALA LUMPUR 12 Sept. – Ahli keluarga Datuk Sosilawati Lawiya kini berkumpul di rumah jutawan kosmetik itu di Taman Harmoni, Gombak selepas dimaklumkan tentang perkembangan terbaru kes kehilangan usahawan tersebut malam tadi.

Salah seorang ahli keluarganya yang hanya dikenali sebagai Elias berkata, mereka juga telah menerima panggilan telefon daripada polis pada pukul 12 tengah hari tadi berhubung kes itu.

"Bagaimanapun polis belum memaklumkan kepada kami sekeluarga yang itu adalah mayat Sosilawati dan masih menunggu pengesahan ujian deoksiribonukleik (DNA).

"Kami akan beri kenyataan selepas polis memberi kenyataan rasmi," katanya kepada pemberita di hadapan rumah keluarga Sosilawati di Taman Harmoni Gombak di sini hari ini.

Sementara itu, suasana di pekarangan rumah banglo Sosilawati tenang dengan beberapa buah kereta dipercayai milik saudara mangsa berada di hadapannya.

Turut kelihatan ialah bekas suami pertama mangsa yang dikenali sebagai Bukhairi kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Dalam pada itu pihak polis dijangka memberi sidang akhbar di Banting berhubung kes itu pada pukul 1.30 petang.

Sosilawati dan tiga lelaki yang hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu dikatakan telah dibunuh sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke pantai Morib.

Misteri kehilangan mereka akhirnya terungkai ekoran penahanan lebih lima orang termasuk seorang peguam bergelar Datuk. - Utusan

Bagaimana Sosilawati menjadi jutawan?


"Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu."

Beliau pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil menggendong bayinya. Ketika itu, wanita ini berstatus janda. Hidup bersamanya yang perlu disara ialah enam anak.

Sebagai janda, beliau terkontang-kanting seorang diri. Justeru, tiada pilihan lain baginya – hidup mesti diteruskan dan makan minum anak-anaknya mesti diadakan.

Datuk Sosilawati Lawiya

Sejak itu, walaupun ketika bergelar isteri wanita tabah ini tidak pernah bekerja, dia mula menggerakkan tulang empat kerat menongkah arus kehidupan. Hebatnya mengenai wanita ini ialah ketabahan membawanya mendaki satu anak tangga ke satu anak tangga kejayaan.

Dan seawal usia 40-an, wanita ini sudah bergelar jutawan. Dialah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang hidupnya penuh suka dan duka.

Malah menurut wartawan utusan.com.my, Hafizahril Hamid yang pernah menembual wanita ini, kehidupan Sosilawati penuh warna.

Dalam artikel ‘Hidup Sosilawati penuh warna’ di utusan.com.my, antara lain Hafizahril mencatatkan:

“Kisah hidup wanita yang boleh dianggap antara paling berjaya dalam bidang industri kecantikan di negara ini Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya penuh ranjau dan duri.”

Memang benar. Pelbagai getir dirempuhnya, termasuk getir perceraian demi perceraian. Dan, ketika artikel ini ditulis, Sosilawati dilaporkan sudah bergelar arwah kerana dibunuh kejam dengan mayatnya dibakar

Ketika artikel ini ditulis, polis baharu sahaja mengesahkan jutawan kosmetik ini mati dibunuh dan mayatnya dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor.

Turut dibunuh kejam ialah pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu ketika berada di daerah itu untuk urusan pembelian tanah.

Menurut utusan.com.my, Sosilawati mengharungi liku-liku kehidupann yang sangat mengharukan. Akibat kegagalan perkahwinan pertamanya benar-benar mengajar beliau erti sebuah kehidupan.

Malah, anak kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini dilaporkan web terbabit, pernah mengakui bahawa:

“Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.

Malah, itu bukan pengalaman kegagalan pertama dan terakhir dalam rumahtangga. Beliau juga pernah mengahwini penyanyi popular tanahair, Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elyas, tetapi juga berakhir dengan kegagalan.

Bagi pemilik syarikat produk kecantikan jenama Nouvella Visage (NV) ini, kegetiran dan kehancuran rumahtangga tidak menjadi penghalang.

Beliau menganggap peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terbabit dalam perniagaan kosmetik serta kecantikan dan mendapati ia sebuah perniagaan yang bagus.

Ternyata, walalaupun hanya dengan pendidikan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tokoh perniagaan ini mampu muncul sebagai jutawan pada usia 40-an.

Taraf jutawan itu tidak diraihnya dengan mudah. Malah, kegetiran hidup Sosilawati bermula seawal zaman kanak-kanak dan remajanya.

Menurut bharian.com.my, Sosilawati pernah terpaksa menoreh getah di kampungnya bagi mengumpul wang RM20 sebulan untuk membayar tambang bas berulang-alik ke bandar ketika membuat persediaan untuk menduduki SPM kali kedua.

Menurut web terbabit, ini diceritakan sendiri oleh adiknya, iaitu Rosnani Lawiya, 45. Disebabkan tekad kuat untuk membantu keluarga, Rosnani berkata, kakaknya sanggup belajar semula di sekolah swasta selepas gagal dalam SPM.

Beliau berkata, kakaknya turut mengajaknya yang juga gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk mengambil semula peperiksaan berkenaan di sekolah swasta.

“Bagi menampung perbelanjaan, Kak Wati dan saya akan menoreh getah seluas lima ekar (dua hektar) milik penduduk kampung, setiap kali selepas pulang kelas di bandar semata-mata bagi membayar tambang bas RM20 sebulan untuk ke kelas selain kos yuran,” katanya.
Kemudian, Sosilawati melakukan pelbagai pekerjaan.

“Ketika bekerja itulah, Kak Wati bertemu jodoh dengan pengurus bank ketika berusia 21 tahun dan melahirkan enam anak hasil perkongsian hidupnya sebelum berpisah 12 tahun kemudian.

“Detik perpisahan itulah bermulanya Kak Wati dalam dunia kosmetik, apabila berjinak-jinak sebagai jurujual kosmetik dari rumah ke rumah bagi menyara anaknya. Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu,” katanya.

Rosnani berkata, walaupun kakaknya itu sudah berjaya dalam hidup, beliau tidak pernah sekalipun meninggi diri serta melupakan asal-usul serta janjinya untuk membantu keluarga.

“Kak Wati seorang yang penyayang, lembut dan tidak pernah membanggakan diri malah menunaikan janjinya dulu untuk membantu setiap ahli keluarga kami. Apa yang paling mengharukan kami adik beradik ialah beliau pernah mengatakan dia tidak mahu melihat kami hidup susah di saat rezekinya dimurahkan Tuhan.

“Kak Wati tidak pernah kedekut menghulur bantuan, termasuk wang ringgit, malah sanggup memberi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada kami supaya kami adik beradik dapat mengubah kehidupan kami sepertinya,” katanya.

Ternyata, kejayaan biasanya tidak diraih secara mudah. Jalan berliku perlu ditempuh. Dalam kes Sosilawati, beliau tidak meraih gelaran jutawan kerana bapa atau ibunya memang sudah memiliki kekayaan melimpah ruah, sebaliknya terpaksa menongkah getir dan kepayahan untuk mengecapi kegemilangan daripada hasil titik peluh sendiri – inimajalah.com

Sosilawati mati dibunuh di Morib (mayat dibakar di ladang ayam)





KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.

Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.

Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.

Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.

Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.

Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah

kredit kosmo

Kematian Sosilawati: Peguam, adik dan enam pekerja ditahan

12/09/2010 4:25pm


BANTING 12 Sept. – Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama

kredit utusan malaysia

Paderi kontroversi umum tarik balik kempen bakar al-Quran


2010/09/12

Terry Jones
Terry Jones
GAINESVILLE: Sebuah gereja kecil di Florida yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia berikutan ugutannya untuk membakar al-Quran pada upacara memperingati serangan 11 September, menarik balik rancangannya.

“Saya ingin menjelaskan dan mengesahkan 100 peratus bahawa tiada sebarang kitab al-Quran akan dibakar pada jam 6.00 petang ini seperti yang dirancangkan sebelum ini,” kata pemimpin gereja, KA Paul dalam satu sidang akhbar.
Paul bertindak sebagai jurucakap Paderi Terry Jones minggu ini untuk membincangkan rancangan memperingati peristiwa serangan 11 September dengan membakar beberapa naskhah kitab suci al-Quran.
Bagaimanapun, berikutan timbul bantahan dan kemarahan yang tercetus oleh penganut Islam di seluruh dunia, Jones berkata dia mengumumkan menarik balik rancangannya untuk membakar al-Quran.

Jones mendakwa pemimpin Islam bersetuju memindahkan lokasi masjid baru jauh dari Ground Zero, dan satu perbincangan akan diadakan mereka hari ini.

“Beliau tidak berada di Gainesville. Beliau terbang ke New York dan saya yang membayar tambang penerbangan serta menempah bilik untuknya malam ini,” katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada imam yang terbabit dengan projek itu, Feisal Abdul Rauf, mempunyai rancangan untuk bertemu Jones.
Imam berkenaan sebelum ini menafikan sebarang rundingan yang menyaksikan lokasi pembinaan masjid dan pusat kebudayaan dipindahkan dari lokasinya berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan itu, ke tempat lain.

Feisal juga tidak mematuhi tempoh dua jam yang ditetapkan Jones untuk mengadakan rundingan dengannya.

Jones mencetuskan kemarahan umat Islam berikutan rancangan membakar al-Quran, manakala berpuluh ribu rakyat Afghanistan mengadakan tunjuk perasaan di jalanan menyebabkan seorang terbunuh.

Rancangan beliau dilihat bakal membahayakan lagi kedudukan tentera Amerika yang sedang berperang di negara itu dan Iraq.

Projek pembinaan pusat kebudayaan dan masjid berhampiran Ground Zero turut menyebabkan perbahasan hangat senat Amerika berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan lokasi serangan 11 September, menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh. – AFP

kredit b.harian