Sunday, September 12, 2010

Bagaimana Sosilawati menjadi jutawan?


"Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu."

Beliau pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil menggendong bayinya. Ketika itu, wanita ini berstatus janda. Hidup bersamanya yang perlu disara ialah enam anak.

Sebagai janda, beliau terkontang-kanting seorang diri. Justeru, tiada pilihan lain baginya – hidup mesti diteruskan dan makan minum anak-anaknya mesti diadakan.

Datuk Sosilawati Lawiya

Sejak itu, walaupun ketika bergelar isteri wanita tabah ini tidak pernah bekerja, dia mula menggerakkan tulang empat kerat menongkah arus kehidupan. Hebatnya mengenai wanita ini ialah ketabahan membawanya mendaki satu anak tangga ke satu anak tangga kejayaan.

Dan seawal usia 40-an, wanita ini sudah bergelar jutawan. Dialah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang hidupnya penuh suka dan duka.

Malah menurut wartawan utusan.com.my, Hafizahril Hamid yang pernah menembual wanita ini, kehidupan Sosilawati penuh warna.

Dalam artikel ‘Hidup Sosilawati penuh warna’ di utusan.com.my, antara lain Hafizahril mencatatkan:

“Kisah hidup wanita yang boleh dianggap antara paling berjaya dalam bidang industri kecantikan di negara ini Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya penuh ranjau dan duri.”

Memang benar. Pelbagai getir dirempuhnya, termasuk getir perceraian demi perceraian. Dan, ketika artikel ini ditulis, Sosilawati dilaporkan sudah bergelar arwah kerana dibunuh kejam dengan mayatnya dibakar

Ketika artikel ini ditulis, polis baharu sahaja mengesahkan jutawan kosmetik ini mati dibunuh dan mayatnya dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor.

Turut dibunuh kejam ialah pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu ketika berada di daerah itu untuk urusan pembelian tanah.

Menurut utusan.com.my, Sosilawati mengharungi liku-liku kehidupann yang sangat mengharukan. Akibat kegagalan perkahwinan pertamanya benar-benar mengajar beliau erti sebuah kehidupan.

Malah, anak kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini dilaporkan web terbabit, pernah mengakui bahawa:

“Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.

Malah, itu bukan pengalaman kegagalan pertama dan terakhir dalam rumahtangga. Beliau juga pernah mengahwini penyanyi popular tanahair, Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elyas, tetapi juga berakhir dengan kegagalan.

Bagi pemilik syarikat produk kecantikan jenama Nouvella Visage (NV) ini, kegetiran dan kehancuran rumahtangga tidak menjadi penghalang.

Beliau menganggap peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terbabit dalam perniagaan kosmetik serta kecantikan dan mendapati ia sebuah perniagaan yang bagus.

Ternyata, walalaupun hanya dengan pendidikan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tokoh perniagaan ini mampu muncul sebagai jutawan pada usia 40-an.

Taraf jutawan itu tidak diraihnya dengan mudah. Malah, kegetiran hidup Sosilawati bermula seawal zaman kanak-kanak dan remajanya.

Menurut bharian.com.my, Sosilawati pernah terpaksa menoreh getah di kampungnya bagi mengumpul wang RM20 sebulan untuk membayar tambang bas berulang-alik ke bandar ketika membuat persediaan untuk menduduki SPM kali kedua.

Menurut web terbabit, ini diceritakan sendiri oleh adiknya, iaitu Rosnani Lawiya, 45. Disebabkan tekad kuat untuk membantu keluarga, Rosnani berkata, kakaknya sanggup belajar semula di sekolah swasta selepas gagal dalam SPM.

Beliau berkata, kakaknya turut mengajaknya yang juga gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk mengambil semula peperiksaan berkenaan di sekolah swasta.

“Bagi menampung perbelanjaan, Kak Wati dan saya akan menoreh getah seluas lima ekar (dua hektar) milik penduduk kampung, setiap kali selepas pulang kelas di bandar semata-mata bagi membayar tambang bas RM20 sebulan untuk ke kelas selain kos yuran,” katanya.
Kemudian, Sosilawati melakukan pelbagai pekerjaan.

“Ketika bekerja itulah, Kak Wati bertemu jodoh dengan pengurus bank ketika berusia 21 tahun dan melahirkan enam anak hasil perkongsian hidupnya sebelum berpisah 12 tahun kemudian.

“Detik perpisahan itulah bermulanya Kak Wati dalam dunia kosmetik, apabila berjinak-jinak sebagai jurujual kosmetik dari rumah ke rumah bagi menyara anaknya. Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu,” katanya.

Rosnani berkata, walaupun kakaknya itu sudah berjaya dalam hidup, beliau tidak pernah sekalipun meninggi diri serta melupakan asal-usul serta janjinya untuk membantu keluarga.

“Kak Wati seorang yang penyayang, lembut dan tidak pernah membanggakan diri malah menunaikan janjinya dulu untuk membantu setiap ahli keluarga kami. Apa yang paling mengharukan kami adik beradik ialah beliau pernah mengatakan dia tidak mahu melihat kami hidup susah di saat rezekinya dimurahkan Tuhan.

“Kak Wati tidak pernah kedekut menghulur bantuan, termasuk wang ringgit, malah sanggup memberi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada kami supaya kami adik beradik dapat mengubah kehidupan kami sepertinya,” katanya.

Ternyata, kejayaan biasanya tidak diraih secara mudah. Jalan berliku perlu ditempuh. Dalam kes Sosilawati, beliau tidak meraih gelaran jutawan kerana bapa atau ibunya memang sudah memiliki kekayaan melimpah ruah, sebaliknya terpaksa menongkah getir dan kepayahan untuk mengecapi kegemilangan daripada hasil titik peluh sendiri – inimajalah.com

No comments:

Post a Comment